Bidang aeronautik merupakan gabungan sains dan teknologi daripada bidang-bidang yang berlainan. pada peringkat perkembangan awal pesawat udara sewaktu Perang Dunia Pertama, prinsip-prinsip kejuruteraan awam telah digunakan dalam reka bentuk struktur pesawat. Enjin pesawat telah diubahsuai daripada enjin kereta. Konsep aerodinamik yang digunakan pula telah diambil daripada kefahaman mengenai aliran bendalir dalam kejuruteraan marin.
Pada asasnya, aeronautik adalah suatu bidang yang terbit daripada bidang mekanikal. Kini, bidang aeronautik telah berkembang kepada pelbagai bidang khusus seperti aerodinamik, avionik, dan sistem pendorongan pesawat. Pelbagai bidang lain juga terlibat dengan aeronautik, misalnya undang-undang dan peraturan penerbangan, sains perubatan, pengurusan dan pentadbiran, pembuatan, pengemudian, komunikasi, serta instrumentasi dan ilmu peperangan udara. Sains komputer dan kejuruteraan perisian pula digunakan khususnya bagi memperoleh dan menggunakan perisian-perisian sebagai alat bantu analisis dan reka bentuk, serta sebagai sistem komputer yang bersepadu dengan pesawat.
Sejarah aeronautik bermula sejak beribu-ribu tahun dahulu, iaitu semenjak orang-orang Cina menghasilkan layang-layang dan usaha mereka menggunakan belerang bagi menghasilkan rejangan. Usaha manusia untuk terbang bermula dengan percubaan meniru cara burung terbang, iaitu dengan mengibarkan sayap buatan berkuasa manusia. Namun demikian, usaha ini gagal disebabkan kemampuan fisiologi manusia menghasilkan tenaga adalah terbatas. Tenaga manusia tidak setanding dengan tenaga burung. Ini boleh digambarkan oleh degupan jantung burung pipit yang jumlahnya sehingga 800 degupan seminit.
Ornitopter merupakan satu-satunya jentera terbang yang menggunakan tenaga manusia sebagai sumber kuasa, tetapi ternyata gagal. Pada abad ke-15, Leonardo Da Vinci telah menghasilkan beberapa lakaran jentera terbang yang terdiri daripada ornitopter dan sejenis pesawat seperti helikopter. Pada tahun 1783, Montgolfier bersaudara dari Perancis telah membuat pertunjukan belon udara panas yang pertama kepada khalayak ramai. Belon ini berukuran 100 kaki ukur kelilingnya dan telah dianggarkan terbang hingga mencapai ketinggian 6000 kaki.
Dalam Perang Saudara Amerika (1861-1865) belon tertambat mula digunakan bagi tujuan peninjauan. Perancis juga telah menggunakan belon untuk peninjauan dalam pengangkutan Paris dalam Perang Franco-Prussia (1870-1871).
Usaha oleh Ferdinand Von Zeppelin telah berjaya menghasilkan pesawat lebih-ringan-daripada-udara yang dapat dikemudikan, disebut sebagai kapal udara atau Zeppelin. Ia menggunakan gas hidrogen mudah bakar bagi mengahsilkan daya angkat. Zeppelin telah banyak digunakan oleh orang Jerman dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan juga bagi penerbangan menyeberangi Lautan Atlantik pada tahun 1930-an. alau bagaimanapun, tragedi kebakaran dan kemusnahan kaapal udara masyhur Hiddenburgh di Lakehurst, New Jersey pada tahun 1937 seolah-olah telah menjadi titik henti bagi penggunaan kapal udara secara praktikal.
Selari dengan perkembangan di atas, pesawat lebih-berat-daripada-udara juga telah mencapai pelbagai kejayaan. Pada tahun 1799, Sir George Cayley telah mengukirkan idea tentang sebuah pesawat ke atas cekera perak. Ia menggambarkan tatarajah lazim pesawat terbang yang wujud hingga ke hari ini. Seterusnya, pada tahun 1849 beliau telah berjaya membina peluncur udara pertama yang telah membawa seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun setinggi beberapa meter.
Otto Lilienthal pula merupakan perisntis kepada pesawat lebih-berat-daripada-udara yang mampu terbang dengan kosisten dan terkawal. Dia telah membina dan cuba menerbangkan sendiri lebih daripada 2000 peluncur antara tahun 1891 hingga 1896, sehinggakan dia pernah mengalami cedera parah.
Bidang aeronautik melibatkan pengajian dalam perkara-perkara seperti berikut:
i) Aerodinamik.
ii) Kestabilan dan kawalan penerbangan.
iii) Pelakuan pesawat.
iv) Struktur pesawat.
v) Sistem pendorongan pesawat.
vi) Avionik.
vii) Reka bentuk pesawat.
viii) Pembuatan pesawat.
Kegiatan aeronautik memerlukan kemahiran saintifik dan teknikal. Kemahiran yang melibatkan aspek-aspek bentuk, ujian, dan pembuatan biasanya memerlukan latihan kejuruteraan atau yang berkaitan pada peringkat ijazah. Jurutera aeronautik adalah seorang profesional yang berkemahiran tinggi dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja yang berkaitan pesawat udara, iaitu termasuk mereka bentuk, pembangunan, pembuatan dan pemasangan. Jurutera ini juga mungkin terlibat dalam kerja pengubahsuaian sesuatu pesawat udara yang sedia ada bagi memperbaiki kemampuan atau ciri-ciri keselamatan penerbangan. Jurutera berlesen khususnya bertanggungjawab ke atas pemeriksaan, baik pulih, dan penyenggaraan pesawat udara atau enjin pesawat yang telah beroperasi. Jurutera berlesen mesti mengikuti kursus kemahiran yang disediakan oleh syarikat penerbangan ataupun oleh pengeluar pesawat atau enjin pesawat.
Beberapa organisasi yang terlibat secara lansung dengan aktiviti aeronautik di Malaysia termasuklah:
i) Penerbangan Malaysia (MAS).
ii) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
iii) AIROD Sdn. Bhd.
iv) Syarikat Malaysia Explosive Engineering Technology (SMET) Aviation Sdn. Bhd.
v) Malaysia Helicopter Services.
Terdapat dua konsep utama pesawat awam termaju yang sedang dikaji, iaitu pesawat pengangkutan supersonik termaju dan pesawat pengangkutan yang sangat besar. Berikutan itu, pesawat pengangkutan hipersonik yang mampu terbang selaju lima kali kelajuan bunyi juga mungkin akan menjadi kenyataan pada masa hadapan.