Sunday, 1 April 2018

Aileron : Alat Kawal Kapal Terbang

Salah satu alat kawal yang terdapat pada kapal terbang. Alat ini, yang juga berfungsi sebagai pengoleng tidak terdapat pada helikopter. Pergerakan mengoleng adalah pergerakan kapal terbang yang berputar pada paksi bujur.



Terdapat sepasang aileron pada sesebuah kapal terbang, iaitu satu di sebelah kiri dan satu di sebelah kanan bahagian belakang hujung sayap utama. Ia berbentuk segi empat dan berukuran lebih kurang satu perlapan daripada panjang sayap utama (panjang separuh rentangan) dan lebarnya lebih kurang satu pertiga daripada lebar hujung sayap. Keratan rentasnya berbentuk keratan rentas bahagian belakang kerajang udara di bahagian hujung sayap sesebuah kapal terbang. Setiap aileron diengselkan pada tetulang bagi membolehkannya bergerak ke atas dan ke bawah.

Kulit aileron diperbuat daripada bahan yang sama dengan bahan yang digunakan bagi membuat kulit sesebuah sayap kapal terbang. Bagi kapal terbang ultraringan, aileron diperbuat daripada fabrik yang nipis, ringan, kuat, serta kalis air seperti nilon. Manakala bagi kapal terbang besar seperti Boeing 747, ia diperbuat daripada aluminium jenis khas yang ringan dan mempunyai kekuatan yang tinggi.

Pergerakan aileron dikawal oleh juruterbang di kokpit dengan menolak tongkat kawal ke kiri atau ke kanan bagi kapal terbang kecil atau dengan memutar roda kawal bagi kapal terbang besar. Biasanya pergerakan tongkat atau roda kawal akan dihantar ke aileron sama ada melalui sistem kabel dan takal bagi kapal terbang kecil, ataupun sistem hidraulik bagi kapal terbang besar. Di samping itu teradapat juga sesetengah kapal terbang moden yang menggunakan alat kawalan elektrik teknologi terkini.

Dengan menolak tongkat kawal atau memusingkan roda kawal ke kanan, aileron sebelah kanan akan terpusing ke atas dan dalam masa yang sama aileron di sebelah kiri akan terpusing ke bawah. Pergerakan aileron secara berpasangan dinamai pergerakan berangkai, Pergerakan ini membolehkan sesebuah kapal terbang otu mengoleng ke kanan.

Jika juruterbang menolak tongkat kawal atau memusingkan roda kawal ke kiri maka aileron sebelah kiri akan terpusing ke atas dan pada masa yang sama aileron sebelah kanan akan terpusing ke bawah pula (arah kiri dan kanan diambil kira dari kiri atau ke kanan juruterbang). Dengan mengoleng ke kiri atau ke kanan, juruterbang akan dapat melihat kawasan di bawah dengan lebih jelas lagi. Biasanya pergerakan ini dilakukan sejurus selepas berlepas ataupun beberapa ketika sebelum mendarat. Bagi kapal terbang pejuang atau aerobatik, aileron juga digunakan bagi membolehkan kapal terbang tersebut mengoleng dengan cepat.

Daripada segi aerodinamik, pergerakan ailerod ke bawah akan menghasilkan daya tambahan ke atas manakala pergerakan aileron ke atas akan menghasilkan daya tambahan ke bawah pula pada sayap kapal terbang. Apabila juruterbang menolak tongkat kawal atau memsusingkan roda kawal ke kanan, pergerakan berangkai aileron akan terjadi, aileron di sayap kanan akan terpesong ke bawah. Pertambahan daya ke bawah berlaku pada sayap kanan dan pertambahan daya ke atas berlaku pada sayap kiri pula. Kedua-dua daya tambahan ini menghasilkan momen melalui paksi bujur kapal tersebut. Gabungan momen inilah yang akan mengolengkan kapal terbang tersebut pada paksi bujurnya ke arah kanan juruterbang iaitu sayap kanan kapal terbang akan bergerak ke bawah dan sayap kiri pula bergerak ke atas. Keadaan sebaliknya akan berlaku jika juruterbang menolak tongkat kawal ke kiri pula, iaitu kapal terbang tersebut akan mengoleh ke arah kiri jurutebang.

Bagi mendapatkan momen oleng yang maksimum, aileron hendaklah dipasangkan di bahagian hujung sayap kapal terbang. Momen oleng boleh didapati daripada jumlah hasil darab daya tambahan ke atas dan ke bawah dengan dengan panjang lengan momen (iaitu jarak aileron dari paksi bujur kapal terbang). Semakin jauh aileron dipasangkan dari paksi bujur semakin baik dan semakin mudah juruterbang membuat pergerakan olengan. Pergerakan aileron jika digabungkan dengan pergerakan kemudi akan membolehkan kapal terbang membelok dengan lebih kemas dan tajam.



No comments:

Post a Comment

Tafsir Al-Quran m/s 27

m/s 27 177. Bukankah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebjikan itu ialah berimannya seseor...