Wednesday, 18 April 2018

Aloi

Campuran logam dengan unsur-unsur lain, sama ada logam dengan logam atau logam dengan bukan-logam. Tujuan campuran logam adalah untuk memperbaiki sifat asal logam tersebut kerana logam dalam keadaan tulen bersifat lemah, menyebabkan penggunaanya terhad dalam banyak kerja reka bentuk dan kejuruteraan. Aloi juga dikenali sebagai pancalogam.

Aloi mengandungi campuran pelbagai unsur, tetapi ia berbeza dengan komposit kerana lazim terdapat struktur habluran dengan atom-atomnya tersusun secara sekata mengikut tertib. Setelah percampuran dilakukan, aloi mempunyai ciri-ciri logam seperti pengalir haba dan pengalir elektrik yang baik, mulur serta kuat pada suhu bilik, dan dapat mengekalkan kekuatan pada suhu yang tinggi.

Pengaloian logam adalah salah satu kaedah untuk menguatkan logam tulen. Pelbagai sifat penting logam seperti kekerasan, kekuatan, kemuluran dan kebolehbentukan dapat diperbaiki apabila logam dialoikan. Contohnya besi dapat dikuatkan berkali ganda hanya dengan menambahkan sebanyak 0.2 peratus karbon, dengan hasil kekerasan bertambah 100-130 kali dan kekuatan tegangan meningkat 20-30 kali. Aloi ini dikenali sebagai keluli lembut. Dalam bidang kejuruteraan, aloi berfungsi sebagai bahan yang berprestasi lebih baik daripada logam tulen dan sifat-sifat yang dikehendaki boleh ditentukan bergantung pada kandungan aloi dan proses rawatan haba yang dikenakan terhadapnya.

Aloi boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu aloi ferus dan aloi bukan ferus.Aloi ferus mengandungi unsur besi sebagai kandungan utama, contohnya seperti keluli karbon biasa, kaluli alat, dan keluli tahan karat. Manakala aloi bukan ferus pula terdiri daripada campuran lain-lain logam selain unsur besi sebagai kandungan utama. Contoh pentingaloi bukan ferus yang digunakan dalam bidang kejuruteraan ialah aloi kuprum dan aloi aluminium.


No comments:

Post a Comment

Tafsir Al-Quran m/s 27

m/s 27 177. Bukankah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebjikan itu ialah berimannya seseor...